Monday, July 4, 2011

alhamdulillah; bersih?

"Bismillah,

Seharian duduk di rumah:) since I have nothing to do, here I got something to share; BERSIH.

Okay, here is a post about that, taken from http://pemikiranpemikir.blogspot.com/2011/07/bersih-20-antara-resolusi-atau-revolusi.html

-------------------------------------------------------------------------------------------------

"Penganjur Perhimpunan Haram Khuatir Kebangkitan BN" - 27 Jun 2011
"Berbaur Komunis" - 27 Jun 2011
"Ambiga Degil" - 28 Jun 2011
"Anasir Asing Meresap" - 29 Jun 2011
"Lagi Bukti Komunis" - 30 Jun 2011
"Tidak Tunduk Desakan Bersih"- 1 Julai 2011
"Pintu Rundingan Ditutup" -2 Julai 2011

Sejak dua menjak ini, dada-dada akhbar penuh dengan hamburan berkaitan dengan Fenomena hangat ketika ini iaitu Bersih 2.0. Tajuk-tajuk di atas merupakan tajuk muka depan akhbar-akhbar utama Malaysia selama satu minggu. Banyak lagi sebenarnya nama samaran yang diberikan kepada perhimpunan Bersih ini. Juga ada yang mengatakan bahawa Bersih ini mahu menghuru-harakan keadaan harmoni negara melalui demonstrasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga dalam satu sidang media mengatakan bahawa Bersih mampu mencetuskan suasana anarki dalam negara, yang boleh berlakunya keganasan, kecederaan, dan juga kerosakan harta benda.

Hakikatnya, objektif penubuhan Bersih ini adalah selari dengan nama yang dipilih iaitu untuk mereformasikan pelaksanaan pilihanraya di Malaysia sejajar dengan konsep demokrasi asas yang dipegang negara sejak Merdeka.

Berikut merupakan tuntutan Bersih 2.0 :

1. Membersihkan senarai nama pemilih.
2. Mereformasikan sistem undi pos.
3. Penggunaan dakwat kekal untuk pengundi.
4. Kempen pilihanraya berjalan selama 21 hari.
5. Media yang bebas dan adil.
6. Mengukuhkan institusi-institusi awam.
7. Penghapusan segala bentuk korupsi.
8. Penghapusan politik kotor.

Berdasarkan 8 tuntutan yang dinyatakan, tiada satupun yang dilihat sebagai suatu ancaman sama ada kepada Majlis Raja-Raja, Kerajaan, Pembangkang, Islam, Keistimewaan Orang Melayu, dan sebagainya. Bahkan, 8 tuntutan ini tidak memberikan sebarang kelebihan kepada mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang dalam konteks pilihanraya. Bersih menuntut pilihanraya yang adil, bukannya pilihanraya yang menyebelahi pembangkang.

Seharusnya, pihak kerajaan turut menyokong tuntutan Bersih ini dan jika semua tuntutan ini dilaksanakan secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Pilihanraya dan Parti Barisan Nasional masih mengekalkan majoriti undi, mereka sudah boleh mendabik dada kerana menang selepas segala tuntutan Bersih ini dilaksanakan.

Selain itu, jika semua pihak termasuk kerajaan, bukan sahaja dari sebelah pembangkang, bersama menyokong 8 tuntutan ini terutamanya YB Perdana Menteri Malaysia, sudah pasti kredibiliti beliau selaku Perdana Menteri akan diangkat kerana menyokong pelaksanaan pilihanraya yang bersih dan adil.

Cukup berkaitan dengan dasar. Sekarang, isu perhimpunan pula. Segala jenis perhimpunan aman adalah dijamin sebagai hak menurut Artikel 10 Klausa 2(b). Ya, tidak dinafikan bahawa ada batas kebebasan yang diberikan, dan dalam konteks perhimpunan, Seksyen 27 Akta Polis 1967 menjadi kekangan. Sebarang perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis, tidak boleh dijalankan. Namun begitu, berpandukan kepada seksyen 27 itu juga, polis berkuasa untuk meluluskan permohonan permit dan membenarkan sebarang perhimpunan dijalankan.

Banyak pihak yang bertanya adakah perhimpunan ini mampu menjamin tiada sebarang bentuk rusuhan dan ketegangan dan kebanyakan mereka melihat sejarah perhimpunan-perhimpunan yang dijalankan sebelum ini seperti Bersih 1, Perhimpunan Hak Air, Solidariti Mesir, dan juga Mayday yang berakhir secara tidak aman. Namun yang demikian, ianya bukanlah disebabkan oleh para demonstran, tetapi lebih kepada status "haram" yang diletakkan oleh para pemerintah dan pihak berkuasa.

Secara kasarnya, perhimpunan-perhimpunan sebegini sering kali dilakukan di Malaysia dan kebanyakannya tidak membawa kepada sebarang kecelakaan sekiranya dikawal dan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa. Sebagai contoh, perhimpunan pelajar UiTM di Shah Alam yang menolak cadangan Menteri Besar Selangor untuk membuka kemasukan UiTM kepada bukan Bumiputera. Jika bercerita tentang kesesakan lalulintas, banyak juga aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan di lalulintas dijalankan di Kuala Lumpur contohnya Maraton, Lumba Basikal, dan sebagainya. Tetapi, ianya berjaya dikawal jika dirancang dan dikawal dengan rapi oleh pihak polis.

Sebaik-baiknya, pihak kerajaan dan SPR haruslah mengambil serius tuntutan Bersih ini dan mencari resolusi bagi memperkasakan proses pilihanraya di Malaysia. Bukannya memainkan isu-isu yang diluar kotak tuntutan Bersih. Bukannya memainkan isu perkauman dan keagamaan.

Bersih bukanlah untuk menggulingkan kerajaan seperti yang berlaku di Thailand suatu ketika dahulu, apatah lagi mencari Revolusi seperti di Mesir. Bersih cuma mahukan pilihanraya yang telus dan adil.

Tiada salahnya untuk berhimpun, tak kiralah sama ada Bersih, Pemuda Umno, mahupun Perkasa. Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi, tidak seharusnya bertindak seperti fasis. Juga tidak seharusnya berkata-kata umpama Neo-Nazi

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

walkie-talkie; hee, sedikit takberani untuk tulis post sendiri, takut tersalah menyampaikan:)

terkilan dengan propaganda ini, sebagai rakyat seharusnya diberi peluang dan ruang untuk menerima perkara yang hak, bukannya disekat. terpanggil untuk menampal post di sini, kerana mahu agar wacana ini dipergunakan sebaiknya:)

1 comment:

  1. hak kita untuk menilai yang mana baik dan buruk~ semoga penilaian kita diredhaiNya...psss:igop mnang x debate..? hehe

    ReplyDelete